Whiskas imagery
Carian Khas

Enter a keyword below to search for articles and products.

Latihan Tandas Kucing: Bagaimana Melatih Kucing untuk Menggunakan Tandas Kucing

Kucing belajar menggunakan tandas kucing daripada ibunya sejak dari kecil. Sekiranya anda membawa pulang kucing liar, kucing gelandangan atau jika anda menyelamatkan anak kucing jalanan dan mengambilnya sebagai kucing angkat, anda bertanggungjawab sebagai ibu kucing dan memberikan mereka latihan tandas kucing.

Walaupun ia mengambil masa tetapi dengan latihan kucing yang betul, anda tidak perlu risau akan kencing dan najis kucing di sekeliling rumah anda. Walau bagaimanapun, ada kalanya anak kucing terlatih juga mungkin membuang najis dan air kencing di sekeliling rumah terutama apabila mereka dewasa. Jika keadaan ini terjadi, anda perlu melatih semula kucing dewasa anda untuk menggunakan tandas kucing semula untuk mereka membuang najis.

Tetapi bagaimana cara melatih kucing menggunakan tandas kucing? Artikel ini akan memberi panduan cara melatih kucing menggunakan tandas kucing.

Mencari Kotak Tempat Najis Kucing yang Sesuai

Latihan tandas kucing bermula dengan mencari kotak tempat najis yang sesuai. Berikut adalah perkara yang perlu dipertimbangkan semasa mencari kotak tempat najis yang sesuai untuk si comel:

  • Saiz kotak tempat najis yang betul

    Jika anda mempunyai kotak bersaiz besar, anak kucing anda akan mendapati kotak itu menakutkan dan terlalu besar. Tempat najis bersaiz 13 inci x 9 inci adalah sesuai untuk anak kucing. Sekiranya anda mempunyai kucing dewasa atau kucing semakin tua, anda memerlukan kotak tempat najis yang lebih besar. Secara ringkasnya, anda perlu mendapatkan kotak tempat najis mengikut saiz kucing anda. Sebaik-baiknya kotak tempat najis seharusnya 1.5 kali ganda panjang kucing. Apabila anak kucing membesar, saiz kotak juga bertambah.

  • Bertutup atau tidak bertutup

    Secara amnya, kucing lebih suka menggunakan kotak tempat najis yang tidak bertutup. Kotak yang bertutup menyebabkan kucing berasa terperangkap. Terdapat juga kucing yang suka membuang najis dalam ruang tertutup. Anda boleh cuba memberikan anak kucing anda kedua-dua pilihan dan melihat sendiri mana satu yang disukainya.

  • Bilangan kotak

    Anda dicadangkan untuk menyediakan satu kotak tambahan untuk najis kucing di rumah anda. Sebagai contoh, jika anda mempunyai tiga kucing, anda perlu menyediakan empat kotak tempat najis kucing.

Lokasi Kotak Tempat Najis Kucing

Lokasi kotak tempat najis yang sesuai adalah bahagian penting dalam latihan tandas kucing. Dengan penyediaan dan lokasi yang betul, anda boleh menggalakkan anak kucing anda untuk menggunakan kotak tempat najis daripada membuang najis dan kencing di sekeliling rumah. Berikut adalah beberapa perkara penting yang perlu dipertimbangkan dalam membuat keputusan mengenai lokasi kotak tempat najis.

  • Cuba elakkan gangguan

    Gangguan mungkin akan menghalang anak kucing anda daripada menggunakan kotak tempat najis. Oleh itu, anda perlu meletakkan kotak tempat najis di tempat yang kurang atau tiada gangguan.

  • Mudah diakses

    Kotak tempat najis yang anda letakkan untuk kucing anda perlu mudah diakses apabila mereka memerlukannya. Elakkan daripada meletakkan kotak ini di sudut atau almari kerana kucing akan rasa terperangkap atau dikepung semasa mereka kencing dan membuang najis. Kucing lebih suka sedikit cahaya di sekeliling kotak tempat najis agar mereka mudah melihat.

  • Letak di beberapa lokasi

    Jika anda tidak mahu kencing dan najis kucing di sekeliling rumah anda, letakkan kotak tempat najis di beberapa kawasan berbeza dalam rumah. Apabila kotak tempat najis berada di beberapa tempat, kucing lebih mudah mencari kotak tempat najis dan menggunakannya bila perlu.

Langkah untuk Melatih Kucing Menggunakan Kotak Tempat Najis

Latihan tandas kucing bukanlah tugas yang sangat mudah tetapi ia juga tidak rumit jika dilakukan dengan betul. Berikut ialah beberapa langkah latihan kucing untuk mereka menggunakan kotak tempat najis dengan betul:

  1. Langkah 1- Kedudukan kotak tempat najis yang betul

    Cuba letakkan kotak tempat najis di tempat yang sunyi iaitu jauh daripada bising. Jangan letak kotak tempat najis berhampiran tempat makan dan minum kucing. Kucing tidak membuang air di kawasan yang sama di mana mereka makan dan minum.

  2. Langkah  2 – Sediakan pasir secukupnya dalam kotak

    Pastikan anda menutup bahagian bawah kotak dengan pasir sekurang-kurangnya 2 inci. Kucing akan menutup najisnya selepas membuang najis dan mereka memerlukan jumlah pasir yang mencukupi untuk menutupnya. Pada mulanya, kucing anda akan mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri dengan rasa dan bau pasir sebelum mereka mula kencing atau membuang najis dalam kotak itu.

  3. Langkah 3 – Letakkan anak kucing di dalam kotak untuk membiasakannya

    Letak anak kucing anda di dalam kotak tempat najis dengan kerap, terutama selepas mereka makan. Anak kucing biasanya membuang najis selepas makan. Anda boleh mengganggu mereka jika melihat mereka membuang najis merata-rata dan membawa kucing ke kotak tempat najis kucing. Beri ganjaran kepada kucing jika mereka membuang najis di kotak tempat najis.

  4. Langkah 4- Buat perubahan dan cuba buatkan kucing untuk menggunakan kotak tempat najis

    Jika anda masih gagal melatih si comel menggunakan kotak tempat najis walaupun selepas mencuba berulang kali, cuba tukar jenis pasir yang anda gunakan dalam kotak. Anda juga boleh cuba mengalih kotak tempat najis ke tempat lain.

Langkah-langkah untuk memastikan kotak tempat najis kucing sentiasa bersih

Ikuti langkah-langkah ini untuk memastikan kotak tempat najis kucing sentiasa bersih:

  • Semasa latihan tandas kucing, bersihkan pasir najis setiap kali selepas anak kucing membuang najis, kerana anak kucing mungkin tidak mahu menggunakan tandas kucing jika terdapat najis di dalamnya. Pastikan anda menambah pasir yang bersih untuk mengekalkan kedalaman 2 -3 inci pasir.
  • Apabila anak kucing meningkat dewasa, cukup sekadar membuang najis sekali sehari. Pada masa ini, anak kucing akan belajar untuk menggunakan kotak tempat najis.
  • Kosongkan semua pasir dan najis dalam kotak, cuci dengan sebersihnya dan isi pasir yang baharu.
  • Jika pasir bergumpal, anda perlu menukarnya setiap minggu.

Apa perlu saya lakukan jika kucing saya enggan menggunakan kotak tempat najis?

Kucing tidak mahu menggunakan kotak tempat najis kucing adalah perkara biasa. Jika anda sudah penat untuk melatih kucing menggunakan kotak tempat najis tetapi anak kucing masih enggan menggunakannya, anda boleh cuba ikuti langkah berikut:

  • Sediakan kotak tempat najis kucing yang sesuai. Kotak tempat najis perlulah mudah diakses dan ditempatkan di ruang yang sunyi tanpa gangguan.
  • Cuba tukar jenis pasir atau keseluruhan kotak tempat najis untuk melihat sama ada anak kucing lebih menyukai pasir atau kotak tempat najis yang berbeza.
  • Buang najis kucing dan gantikan pasir kucing dengan lebih kerap.
  • Difuser feromon boleh digunakan kerana ia amat membantu kucing untuk menandakan kawasan mereka.
  • Jika masalah masih tidak dapat diselesaikan, bawa kucing anda untuk diperiksa doktor haiwan untuk mengenalpasti masalah seperti jangkitan salur kencing, parasit atau masalah kesihatan lain.

Soal Lazim mengenai bagaimana cara melatih kucing menggunakan kotak tempat najis

Apakah cara terpantas untuk melatih kucing menggunakan kotak tempat najis?

Cara terpantas untuk melatih kucing menggunakan kotak tempat najis adalah mula melatihnya ketika ia masih bayi. Anak kucing adalah lebih cepat belajar dan kurang cerewet dengan pilihan mereka. Gunakan galakan yang positif seperti memberi snek dan pelukan untuk melatih mereka dengan mudah.

>Berapa lama diperlukan untuk melatih kucing menggunakan kotak tempat najis?

Anak kucing perlu diletakkan di dalam kotak banyak kali selama beberapa hari untuk mereka menyesuaikan diri dengan kotak tempat najis. Ia mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk melatih kucing dewasa. Secara purata, 4 minggu diperlukan untuk melatih kucing menggunakan kotak tempat najis.

Bagaimana cara melatih kucing menggunakan kotak tempat najis?

  • Letak kotak tempat najis di kawasan yang sesuai
  • Letak pasir yang secukupnya dalam kotak tempat najis
  • Letak anak kucing dalam kotak tempat najis supaya mereka terbiasa dengan kotak itu
  • Tukar kotak tempat najis jika anak kucing tidak menggunakannya

Adakah anda perlu melatih kucing menggunakan kotak tempat najis?

Ya, kucing perlu dilatih untuk menggunakan kotak tempat najis. Secara amnya, anak kucing belajar daripada ibunya untuk kencing dan membuang najis di tempat yang sepatutnya. Anda juga boleh melatih mereka dengan membiasakan mereka menggunakan kotak tempat najis.

Bolehkah anda melatih kucing menggunakan tandas?

Ya, anda boleh melatih kucing menggunakan tandas. Berbekal kesabaran dan mengikuti kaedah yang betul, anda boleh melatih kucing menggunakan tandas dan memastikan ia bersih juga! Tetapi ini mungkin mengambil masa lebih lama daripada latihan kotak tempat najis.

Whiskas brand imagery