Whiskas imagery
Carian Khas

Enter a keyword below to search for articles and products.

Cara Memilih Kucing - Ketahui Jantina Kucing, Bulu & Banyak Lagi

  "Jika anda berminat dengan baka kucing tertentu, disarankan agar anda membuat penyelidikan untuk mengetahui sama ada baka kucing tersebut adalah baka yang sesuai untuk anda atau tidak"

Adakah anda selalu teringin menjadi pemilik kucing? Adakah anda hampir mengambil kucing angkat? Anda mungkin sangat teruja untuk memenuhi hidup anda dengan pelukan dan keceriaan tetapi seharusnya tunggu dulu dan pertimbangkan beberapa perkara sebelum membawa pulang si comel.

Kebiasaannya, kucing akan berkongsi kehidupan dan ruang dengan anda selama lebih 12 tahun. Oleh itu, penting untuk anda ketahui cara memilih kucing yang paling sesuai dengan gaya hidup anda. Sebelum membawa pulang si comel, luangkan masa untuk berfikir sama ada sekarang adalah masa yang sesuai untuk anda memikul tanggungjawab dan sama ada anda mampu meluangkan masa untuk mereka dan memberikan mereka kediaman yang penuh kasih sayang. Jika semua jawapan pada persoalan anda adalah “Ya!”, ini adalah panduan cara memilih kucing yang akan memberikan kenangan bahagia dan penuh kasih sayang sepanjang hayat.

Perkara yang Perlu diPertimbangkan Sebelum Memilih Kucing:

  • Ambil Kucing atau Anak Kucing?

    Anak kucing adalah makhluk comel kecil yang penuh dengan kasih sayang dan anda dapat memelihara mereka pada permulaan kehidupannya. Walau bagaimanapun, anda perlu bersedia untuk berikan mereka banyak masa dan perhatian kerana si comel sangat bertenaga dan boleh menjadi sangat nakal! Semasa memilih anak kucing, lihat pada kemesraan kepada anda dan adik beradiknya. Jika anak kucing kerap mencakar dan menggigit, mereka berkemungkinan akan menjadi lebih bertenaga dan lebih kasar apabila mereka membesar. Hantar anak kucing anda untuk pemeriksaan doktor haiwan sebelum membawa mereka pulang.

    Kucing dewasa juga merupakan teman peluk yang terbaik. Mereka akan bahagia apabila dapat tidur di riba anda pada setiap masa. Mereka mempunyai tahap tenaga lebih rendah berbanding anak kucing, jadi anda tidak perlu terlalu memerhati mereka. Walau bagaimanapun, personaliti mereka akan lebih tegar dan kurang mengikut latihan. Cuba dapatkan maklumat berkenaan personaliti kucing, tabiat pemakanan, dan kegemaran mereka sebelum membawa mereka pulang.

  • Jantina Kucing

    Apakah beza kucing jantan dan betina? Dan mengapa ia penting apabila memilih kucing? Kebiasaannya pemilik kucing tidak bimbang tentang jantina kucing jika mereka hanya mahukan seekor kucing atau anak kucing. Walau bagaimanapun, jika anda sudah mempunyai seekor kucing dan mahukan kucing lagi, disarankan untuk memilih kucing yang berlainan jantina untuk mengurangkan ketegangan antara mereka.

    Jantina adalah penting jika anda idamkan kucing anda melahirkan bayi. Pilihan jantina adalah tidak penting jika anda tidak mahu mereka membiak. Pemilik kucing yang menentang pembiakan disarankan neuter/memandulkan anak kucing apabila mereka berusia empat bulan. Ia adalah usia anak kucing mencapai matang/baligh dan mula menunjukkan tanda tingkah laku reproduktif. Kucing jantan dan betina yang tidak dimandulkan menunjukkan simptom yang berlainan. Kucing jantan akan menanda kawasan mereka dengan air kencing yang hancing dan kucing betina pula akan mengandung atau membiak hampir setiap dua minggu.

  • Baka Kucing: Cara memilih baka yang paling sesuai untuk saya

    Kucing datang dalam pelbagai baka yang menentukan keramahan, tahap tenaga dan keperluan dandan. Sebelum memilih baka tertentu, tanya diri anda soalan-soalan ini untuk menentukan secara tepat apakah baka yang paling sesuai untuk anda:

Cara memilih baka yang paling sesuai:

  • Apakah jenis kucing yang paling sesuai dengan gaya hidup saya?

Fahami personaliti baka tertentu. Jika kucing suka bermain, mesra, dan lincah, mereka akan menyukai rumah yang ada anak-anak atau beberapa orang untuk bermain bersama. Kucing yang lebih suka bersendirian adalah sangat sesuai untuk pemilik tunggal. Anda juga perlu pelajari sama ada kucing lebih suka di dalam atau di luar rumah untuk menyesuaikan dengan gaya hidup anda.

  • Adakah anda mempunyai haiwan peliharaan yang lain di rumah?

Sesetengah kucing mungkin sangat “territorial” dan tidak bertindak balas dengan baik terhadap haiwan peliharaan sedia ada. Sentiasa ketahui sama ada baka kucing tertentu adalah mesra dengan haiwan lain dan sama ada mereka bertindak balas dengan baik pada haiwan peliharaan yang lebih besar atau lebih kecil yang sedia ada di rumah.

  • Berapakah masa yang perlu diberi kepada kucing saya?

Jika anda sentiasa sibuk, pilihlah baka kucing yang lebih berdikari. Jika anda selalu ada di rumah, anda boleh memilih kucing yang memerlukan banyak sentuhan manusia. Begitu juga jika anda tidak boleh meluangkan banyak masa untuk mendandan mereka, pilihlah baka dengan dandanan minima.

  1. Personaliti Kucing dan Komunikasi

    Kucing kerap dianggap sombong dan memencilkan diri kerana tidak menunjukkan kasih sayang secara bersungguh-sungguh dan teruja seperti yang dilakukan oleh anjing. Tetapi ini adalah tidak benar. Kucing boleh menjadi sangat penyayang dan akan meminta hubungan dengan manusia dalam pelbagai cara. Anda perlu mengenali cara kucing berkomunikasi untuk memahami makhluk yang menakjubkan ini.

    Sebagai contoh, jika kucing anda mendapati mereka menggesel muka dan ekornya pada anda semasa mereka berdengkur, ia bermakna mereka gemarkan anda! Jika mereka mengiau dengan suara perlahan, mereka sama ada menyapa atau ingin mendapatkan perhatian. Panggilan kuat tanpa henti pula bermaksud mereka perlukan perhatian segera, keliru atau mengadu. Terdapat juga tangisan semasa mengawan. Jika kucing anda melengkungkan punggung dan menaikkan tulang rusuk dan jika mereka mendesis atau meludah, itu bermakna mereka rasa terancam dan bersedia untuk menyerang.

  2. Personaliti Ibu Bapa Kucing

    Personaliti kucing – sama ada mereka mesra atau tidak, berani atau takut, dan sebagainya – ia mungkin dipengaruhi oleh gen ibu bapa kucing. Tidaklah mudah untuk menjangkakan personaliti bapa kucing moggies atau kucing bukan pedigree, tetapi pembiak baka memilih dengan berhati-hati untuk mengawankan mereka dengan kucing yang mesra dengan harapan dapat menurunkan sifat kepada anak kucing. Anda boleh bertanya pada pembiak baka tentang personaliti ibu bapa kucing dan perhatikan juga adik-beradiknya yang lain. Jika moggie, anda perlu perhatikan tanda kemesraan atau sikap agresif ibu kucing.

  3. Jenis Bulu Kucing

    Jenis bulu kucing mungkin sukar untuk ditentukan jika anak kucing adalah moggie, terutama sekali apabila bapa kucing tidak dikenal pasti. Jika anda mengambil anak kucing pedigree daripada pembiak baka terkenal, anda membuat pilihan terbaik berkenaan bulunya. Anak kucing dengan bulu tebal dan panjang seperti Parsi memerlukan banyak dandanan tetapi sesetengah baka seperti Sphynx pula memerlukan banyak penjagaan kulit. Begitu juga baka Rex yang berbulu nipis. Tanya kepada pembiak baka mengenai keperluan dandanan sebelum membawa mereka pulang.

  4. Kesihatan Kucing

    Kesihatan anak kucing adalah salah satu perkara utama apabila mempertimbangkan cara memilih kucing. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, bawa kucing anda berjumpa doktor haiwan untuk pemeriksaan kesihatan sebelum membawa mereka pulang. Berikut adalah tanda kucing yang sihat yang boleh membantu anda memilih kucing.

    • Mata – Jika anda mata anak kucing bersinar, jernih dan tiada discaj, ia adalah petanda mereka sihat. Pastikan juga mata anak kucing terbuka sepenuhnya dan mereka boleh mengikut tangan anda.
    • Telinga – Telinga kucing mestilah bersih dan bebas tahi telinga. Mereka tidak sepatutnya mempunyai ruam dan kesan kutu telinga. Periksa juga sama ada kucing atau anak kucing menunjukkan tanda gatal di sekitar telinganya.
    • Hidung – Anak kucing atau kucing yang anda mahu bawa pulang haruslah bernafas dengan mudah. Periksa hidung mereka seperti anda lakukan pada mata dan telinganya. Anak kucing seharusnya mempunyai hidung yang bersih tanpa tanda-tanda kering, discaj dan darah.
    • Mulut – Apabila anda memeriksa mulut kucing, periksa sepert berikut: sama ada gusi kucing atau anak kucing berwarna merah jambu seperti ikan salmon, dengan gigi yang putih tanpa kerosakan. Ini menunjukkan mereka adalah anak kucing yang sihat.
    • Punggung – Perkara penting yang perlu diperiksa adalah punggung anak kucing. Punggung kucing mestilah tidak bengkak dan bulu tidak bergumpal. Periksa juga punggung kucing anda jika ada bengkak, discaj, ruam atau darah.
    • Badan – Salah satu perkara penting sebelum membawa kucing pulang ke rumah adalah memeriksa badannya secara teliti. Kucing seharusnya mempunyai bentuk yang sempurna, simetri mengikut bakanya tanpa kembung, ketulan atau kuping.
    • Pemberian makanan– anda boleh memeriksa sama ada kucing yang ingin dibawa pulang mempunyai selera yang baik dengan melawat mereka semasa masa makan. Jika tidak berpeluang melawat, tanya pembiak baka mengenai tabiat pemakanan mereka dan pastikan mereka diperiksa oleh doktor haiwan.
  5. Sosialisasi Awal

    Sosialisasi awal adalah penting jika anda mempunyai haiwan peliharaan atau anak kecil di rumah. Anda mungkin mahukan kucing yang mudah berinteraksi dengan haiwan lain dan kanak-kanak. Ia bagi mengelakkan kejutan, sifat agresif dan tingkah laku yang tidak menyenangkan apabila mereka tiba di rumah. Tanya pada pembiak baka bagaimana kucing atau anak kucing bertindak balas apabila dipegang kanak-kanak atau sama ada mereka pernah berinteraksi dengan haiwan lain seperti anjing. Ini dapat membantu anda membuat keputusan sama ada rumah anda boleh menjadi tempat mereka berlindung.

  6. Kos Pengurusan Kucing

    Memelihara kucing melibatkan pelaburan masa dan duit. Anda tidak hanya membeli kucing (jika tidak mengambil kucing angkat), tetapi anda juga perlu membuat persiapan sebelum mengambilnya bagi memastikan mereka selesa di rumah dan di persekitaran baru. Benda yang mungkin perlu dibeli adalah:

    √ Makanan kucing dan snek kucing
    √ Mangkuk air dan makanan
    √ Pengangkut kucing/Carrying crate
    √ Pasir najis kucing dan bekas najis kucing
    √ Katil kucing
    √ Peralatan mendandan
    √ Tiang pencakar

    Anda juga perlu menyimpan untuk perbelanjaan berulang untuk sepanjang hayat kucing anda termasuk:

    √ Bil doktor haiwan dan ubatan untuk kutu, cacing dan pijat
    √ Kos penggantian untuk makanan, tandas kucing dan mainan

    Sebelum membawa si comel pulang, semak perbelanjaan tetap bagi pemilik kucing di kawasan anda. Perbelanjaan terutamanya untuk penjagaan veterinar adalah berbeza mengikut kawasan dan biasanya meningkat apabila mereka semakin dewasa.

    Kucing juga memerlukan masa dan perhatian anda. Tidak semua kucing suka menyendiri dan mungkin mahu meluangkan banyak masa berinteraksi dengan anda. Contohnya anak kucing , lebih suka bermain berbanding kucing dewasa. Mereka sentiasa mahukan perhatian. Kucing yang mempunya bulu tebal dan panjang memerlukan lebih perbelanjaan dan masa mendandan. Perkara ini dapat membantu memilih teman yang sesuai untuk anda.

Soalan Lazim berkenaan Memilih Kucing:

Berapa usia anak kucing yang sesuai untuk diambil?

Anak kucing berusia 8-12 bulan adalah ideal untuk diambil sebagai kucing angkat atau dibeli kerana mereka dalam proses bercerai susu dan sedia untuk berdikari. Anak kucing juga mudah untuk dilatih dan menyesuaikan diri dengan mudah di persekitaran yang baru.

Apakah kucing yang terbaik untuk pemilik kali pertama?

Setiap kucing mempunya personaliti unik yang berbeza, jadi tiada jawapan yang tepat untuk soalan ini. Walau bagaimanapun, sesetengah baka kucing yang mesra dan mudah bergaul disarankan untuk pemilik kucing kali pertama seperti Maine Coon, Kucing Somali, Kucing Siam, Ragdoll, Bulu Pendek Amerika dan Kucing Burma.

Adakah kucing betina atau jantan lebih baik?

Jantina kucing tidaklah begitu penting kerana anda disarankan untuk memandulkannya pada umur sekitar empat bulan. Walaupun tanpa pemandulan, gen dan persekitaran yang disediakan untuk mereka boleh menentukan tingkah laku mereka dan bukan disebabkan jantina kucing.

Kucing yang paling kurang memerlukan penjagaan

Tidak semua kucing memerlukan penjagaan yang rumit. Sesetengah kucing mungkin memerlukan dandanan yang kerap dan perhatian khusus, tetapi kebanyakannya adalah senang untuk diurus. Baka kucing yang memerlukan kurang penjagaan adalah Bulu Pendek Amerika, Bulu Pendek Eropah, Ragdolls, Bombay, Kucing Burma, Abyssinian, Cornish Rex dan Scottish Fold.

Perkara yang perlu diketahui oleh pemilik anak kucing kali pertama

Pastikan sentiasa ada makanan, air dan keperluan dandanan seperti berus, pasir najis kucing, bekas najis tersedia. Simpan semua benda kecil seperti gelang getah, guli, penutup botol dan sebagainya daripada dicapai si comel kerana ia boleh menyebabkan mereka tercekik. Sentiasa bersedia untuk kecemasan.

Whiskas brand imagery